Honda Blade 2023 masuk pasaran Vietnam – RM3.6k

CarNews


Di Vietnam, Honda mempunyai beberapa model motosikal kelas permulaan dengan antaranya adalah Blade. Ia sudah wujud sejak tahun 2018, melalui beberapa kali peningkatan dan tahun ini diperbaharui lagi dengan kini ditawarkan dalam tiga versi iaitu Special, Sports dan Standard, pada harga bermula 19.25 juta dong (RM3,617).

Membezakan antara tiga varian ini adalah bahagian brek, di mana Standard cuma mendapat brek jenis dram di hadapan dan belakang, sementara Sports dan Special pula mendapat brek cakera di hadapan. Kemudiannya angkup brek serta spring penyerap belakang varian Sports dicat warna merah, manakala pada Special ia berwarna perak.

Bahagian roda juga berbeza dengan varian Standard mendapat rim jenis spoked dan tayar bertiub, sementara Sports dan Special menggunakan rim aluminium dengan tayar tanpa tiub. Grafik setiap varian juga mempunyai keunikan masing-masing.

Blade dipacu oleh enjin satu silinder 109.1 cc penyejukan udara, dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 8.3 hp pada 7,500 rpm dan 8.65 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan secara tendang ataupun butang pemula elektrik.

Tangki bahan api Blade berkapasiti 3.7 liter, dan kelengkapan lainnya adalah seperti panel meter dengan penunjuk kedudukan gear serta lampu jenis halogen. Berat keseluruhan Blade adalah 98 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 769 mm.





17 Uses of Aluminium Foil That Can Make Your Life Easier
17 Uses of Aluminium Foil That Can Make Your Life
Petualangan Udara
Mazda bakal naikkan harga di Malaysia hingga RM26 200 mulai 1 April 2023? Mazda 2 dari RM114k?
Mazda bakal naikkan harga di Malaysia hingga RM26
BMW iX M60 2023 kini di M’sia — 561 km jarak 619 PS/1 100 Nm 0-100 km/j dalam 3.8 saat; RM631k
BMW iX M60 2023 kini di M’sia — 561 km jarak 619